Friday 10 April 2015

Definisi Ayat Majmuk

APA ITU AYAT MAJMUK?

Nik Safiah Karim et al..  (2006) membahagikan ayat majmuk kepada tiga jenis iaitu ayat majmuk gabungan, ayat majmuk pancangan dan ayat majmuk campuran. Nik Safiah Karim et al..  (2006) menjelaskan bahasa ayat majmuk gabungan terbina daripada dua atau lebih klausa bebas yang menggunakan kata hubung ‘dan’ untuk menggabungkannya. Contohnya, “Ayah pergi ke pejabat dan emak pergi ke pasar”. Ayat majmuk pancangan pula terbina daripada satu atau lebih klausa tak bebas dengan menggunakan kata hubung atau kata sendi (Nik Safiah Karim et al.. , 2006). Klausa induk adalah terdiri daripada klausa bebas yang menerima klausa pancangan (Nik Safiah Karim et al.. , 2006). Ayat majmuk campuran pula merupakan hasil gabungan ayat majmuk campuran dan ayat majmuk pancangan (Nik Safiah Karim et al.. , 2006). Contoh ayat ialah “Saya tahu bahawa ibunya sudah meninggal” yang menunjukkan bahawa kata kerja ‘tahu’ adalah tidak lengkap tetapi dapat dilengkapkan oleh klausa komplemen, iaitu “bahawa ibunya sudah meninggal.”

Zainal Abidin Bin Ahmad atau Z’aba (2000:276) tidak menggunakan istilah ayat majmuk, tetapi beliau menggunakan istilah ayat berlapis, ayat berkait dan ayat bercampur. Menurut Z’aba (2000), ayat berlapis ialah ayat yang dibina daripada dua ayat yang sama tarafnya dan menggunakan kata hubung ‘dan’ untuk mengaitkan kedua-dua ayat tersebut. Contohnya, “Tangannya patah sebelah dan kakinya luka-luka.” Ayat jenis berkait pula dibina daripada ayat kecil yang terdiri daripada kata hubung penambat dan berhubung dengan satu ayat induk yang terdiri daripada klausa induk. Contoh ayat yang ditunjuk oleh Z’aba (2000) ialah “Setelah saya mandi-manda di kolam itu, saya pun naik ke rumah bersalin pakaian.” Dalam ayat tersebut, kata hubung penambat ‘setelah’ telah digunakan. Ayat bercampur pula merupakan persatuan yang terdiri daripada:-
a.) ayat selapis dengan ayat berkait
b.) ayat berlapis dengan ayat berkait
c.) ayat berkait dengan ayat berkait
Contoh ayat bercampur ialah “Orang Cina sangat kuat bekerja dan kita hanya akan dapat melawan mereka jika kita kuat bekerja seperti mereka itu pula. ” Dalam ayat ini, kata hubung ‘dan’ telah digunakan untuk menghubungkan ayat selapis dengan ayat berkait (Z’aba, 2000). 

Dalam buku Nahu Melayu Mutakhir (NMM), Asmah Haji Omar (1993:348), menggunakan istilah ‘klausa kompleks’ bagi merujuk kepada ayat majmuk. Menurut beliau, klausa kompleks terdiri daripada dua, iaitu klausa komples setara (penggabungan klausa) dan klausa kompleks tak setara (pelapisan klausa). Asmah Haji Omar (1993:348) menjelaskan bahawa klausa C menjadi subordinat klausa B dan klausa B menjadi subordinat klausa A dalam klausa kompleks tak setara. Contohnya, “Telah dia yakin tadi bahawa bukan tangannya yang bakal memegang kapak”. Klausa kompleks setara pula adalah gabungan klausa-klausa yang sama taraf dan dihubungkan oleh kata penghubung seperti dan, atau, tetapi  dan lain-lain lagi. Dengan ini, seiap klausa juga boleh dipanggil klausa utama (Asmah Haji Omar, 1993:348). Contoh ayat yang boleh dianalisis sebagai klausa kompleks setara yang menggunakan kata hubung ‘dan’ merupakan ayat “Ayah pergi ke pejabat dan emak pergi ke sekolah.”

Kesimpulannya, walaupun Z’aba (2000) dan Nik Safiah Karim et al..  (2006) menggunakan istilah yang berbeza tetapi huraian untuk ayat majmuk adalah sama.Keadaan ini jelas tergambar apabila ayat berlapis adalah sama dengan ayat majmuk gabungan, ayat berkait pula sama dengan ayat majmuk pancangan dan ayat bercampur adalah sama dengan ayat majmuk campuran
Di samping itu, terdapat juga perbezaan dalam kalangan ahli-ahli bahasa tentang definisi ayat majmuk, namun secara ringkasnya dapat disimpulkan secara umumnya, ayat majmuk boleh dibahagikan kepada 3 jenis, iaitu:-
a.) ayat majmuk gabungan
b.) ayat majmuk pancangan
c.) ayat majmuk campuran

BIBLIOGRAFI

Asmah Haji Omar Edisi Keempat.  1993. Nahu Melayu Mutakhir. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur
Nik Safiah Karim et al..  2006. Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Zainal Abidin Ahmad.  2000. Pelita Bahasa Melayu Penggal I - III Edisi Baharu. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment