Wednesday 8 April 2015

Kata Akar dan Kata Dasar

Dalam Nahu Melayu Mutakhir (NMM), Asmah Hj Omar, (1993: 14) menggunakan istilah kata akar dan kata dasar serta membezakan dengan jelas apa itu kata dasar dan kata akar. Kata akar adalah kata dasar yang hanya terdiri dari satu morfem bebas sahaja dan biasanya dianggap sebagai inti untuk sesuatu kata (Asmah Hj Omar, 1993: 14). Kata dasar pula merupakan kata yang boleh dikenakan penambahan (Asmah Hj Omar, 1993: 14)Asmah Hj Omar, (1993: 14) telah menunjukkan beberapa jenis kata akar dan jelas tergambar seperti berikut:-

Jenis
Contoh
Kata Akar
meja (bermeja)
Kata Akar dengan Penambah
perbaik (memperbaiki)
Kata Akar Berulang /  Kata gandaan
baik-baik (berbaik-baik)
Kata Akar Majmuk
matahari (bermatahari)

Namun demikian dalam Tatabahasa Dewan (TBD), Nik Safiah Karim et al., (2010) tidak menggunakan istilah kata akar dan kata dasar. Sebaliknya, beliau hanya menyatakan bahawa satu perkataan mengandungi pelbagai bentuk yang dapat dijeniskan sebagai kata tunggal, kata terbitan, kata majmuk dan kata ganda (Nik Safiah Karim et al., 2010:47). Menurut Nik Safiah Karim et al., (2010), kata tunggal merupakan bentuk kata yang terdiri daripada hanya satu bentuk dasar, yakni tidak menerima apa-apa bentuk imbuhan atau kata dasar yang lain. Kata terbitan pula terbentuk melalui proses menambahkan imbuhan pada kata dasar yang akhirnya melahirkan kata terbitan. Nik Safiah Karim et al., (2010) menerangkan bahawa kata majmuk ialah bentuk yang dihasilkan melalui proses yang merangkaikan dua kata dasar yang membawa makna tertentu. Kata ganda pula dihasilkan melalui proses mengulangi kata dasar. Proses pengulangan ini melibatkan seluruh kata dasar yang disebut penggandaan penuh atau melibatkan sebahagian kata dasar yand disebut penggandaan separa. Contoh rumusan kata tunggal dan kata yang lain adalah seperti di bawah:-
     kata tunggal - diam
     kata terbitan - peN + ketua = pengetua
     kata majmuk - jalan raya
     kata ganda - besar-besar

Menurut Intarachat, Pitsamai (1987: 34), dasar tidak semestinya merupakan akar, oleh kerana dasar digunakan bila ia merupakan bahagian daripada sesuatu bentuk yang diimbuhkan. Kata "tulis" apabila berdiri sendiri bukan dasar, sebab ia merupakan bentuk selapis, iaitu akar bebas. Walaupun demikian, "tulis" yang merupakan akar bebas, boleh menjadi dasar dalam bentuk lain yang lebih besar; misalnya, ia boleh menjadi dasar bagi pokok "tuliskan". Dalam kes ini, "tulis" merupakan akar dan juga dasar bagi pokok "tuliskan". Satu contoh lagi, bentuk "pelajaran" boleh merupakan dasar bagi pokok "berpelajaran". Namun demikian,  akar dan dasar adalah berbeza dalam kes ini. Hal ini disebabkan dasarnya mengandungi lebih daripada satu morfem. Keadaan ini jelas tergambar apabila dasar tersebut merupakan bentuk yang diimbuhkan dan juga terdiri daripada akar, iaitu "ajar" dan morfem terikat {pel-...-an}. Kata majmuk "tanggungjawab" merupakan dasar majmuk bagi pokok kata kerja "bertanggungjawab". 

Kesimpulannya, hasil daripada perbincangan dan pandangan-pandangan tokoh yang penulis telah kongsikan di sini membuktikan kepada kita bahawa walaupun istilah yang digunakan adalah berbeza, namun demikian maksud untuk istilah tersebut adalah sama. Contohnya, kata akar dan kata tunggal membawa maksud yang sama. Oleh itu, kenyataan yang dikeluarkan oleh buku NMM bahawa kata akar dibahagi kepada pelbagai jenis adalah tidak benar sama sekali. Sebaliknya, penulis NMM mungkin perlu mengkaji semula bukunya yang dikeluarkan olehnya untuk memasukkan kata dasar terdiri daripada pelbagai bentuk dan bukannya kata akar. Selain itu, istilah yang digunakan oleh TBD memang mengelirukan pembaca. Oleh demikian, TBD digalakkan untuk menggunakan istilah yang mudah agar mudah difahami oleh pembaca. Hal ini disebabkan buku TBD menjadi rujukan kebanyakan rakyat Malaysia dan langkah pengkajian semula penggunaan istilah harus dilakukan bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan rakyat Malaysia. 

Bibliografi
Asmah Haji Omar Edisi Keempat.  1993. Nahu Melayu Mutakhir. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Intarachat, Pitsamai. 1987. Sintaksis Predikat dalam Bahasa MalaysiaDewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Nik Safiah Karim et al..  2006. Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

2 comments: