Saturday 11 April 2015

Perkataan 'GILER'

Perkataan ini bukan lagi sesuatu yang dalam komunikasi harian kami sebaliknya sudah menjadi suatu kebiasaan bagi masyarakat Melayu. Penggunaan perkataan in semakin menjadi-jadi terutamanya dalam kalangan remaja. Hal ini adalah disebabkan oleh perubahan masa dan teknologi yang semakin canggih dan akhirnya menyebabkan berlakunya situasi atau senario sebegini. 

Saya kerap mendengar penggunaan istilah ini bersama-sama dengan kata adjektif seperti cantik, besar, berat, tinggi, putih, cerah, hitam, tinggi, dan lain-lain lagi. Dengan ini, perkataan ‘giler’ akan diucapkan selepas kata adjektif tersebut. Situasi ini jelas tergambar kewujudan perkataan “cantik giler, besar giler, putih giler dan banyak lagi” Perkataan-perkataan tersebut membawa maksud berlebihan iaitu sangat cantik, sangat besar dan sangat putih. Contoh ayat yang kerapkali digunakan dalam perbualan harian:-
Wah, putih giler kulit kamu!
Huh, berat giler bungkusan ini!
Dengan mudah kita akan tersalah anggap yang perkataan ‘giler’ tersebut merupakan kata penguat belakang untuk sesuatu kata adjektif.

Namun demikian, mengikut Tatabahasa Dewan, Nik Safiah Karim et al..  (2006) menjelaskan bahasa perkataan yang terletak di belakang kata adjektif ialah kata penguat belakang. Contohnya sekali, benar, dan nian seperti dalam ayat berikut:
Kelakuan budak-budak itu baik sekali.

Sulaiman Mari, Abdullah Yusof dan Mohd. Ra’in Shaari (2006:78) menyatakan bahawa inti frasa sifat ialah kata sifat. Kata penguat seperti sangat, betul, benar, benar-benar ialah penerang kata sifat. 

a.) Sulaiman Mari, Abdullah Yusof dan Mohd. Ra’in Shaari (2006:78) menunjukkan contoh-contoh yang berikut, diperlihatkan frasa kata sifat dan penerangannya:
besar betul
baik benar
tinggi nian

b.) Dalam frasa sifat tersebut, besar, tinggi dan baik ialah kata sifat, manakala betul, benar dan nian ialah penerang kata sifat (Sulaiman Mari, Abdullah Yusof dan Mohd. Ra’in Shaari, 2006:78). Frasa sifat juga dapat disertai kata bantu dan adakalanya kata bantu digunakan sekaligus dengan kata penguat (Sulaiman Mari, Abdullah Yusof dan Mohd. Ra’in Shaari, 2006:78). Contohnya:-
mesti rajin (kata bantu + kata sifat)
mesti rajin betul (kata bantu + kata sifat + kata penguat)

Selain itu, Abdullah Hassan et al., (2006:260) frasa adjektif terdiri daripada satu kata adjektif atau terdiri daripada kata adjektif dengan kata penguat. Kata penguat boleh hadir dalam tiga bentuk, iaitu:-
Penguat hadapan (terlalu, paling, sangat)
Penguat belakang (sangat, sekali, benar, nian)
Penguat bebas (amat, sangat, sungguh)
Abdullah Hassan et al., (2006:260) berkata bahawa dua kata penguat boleh hadir berderetan sebelum dan selepas kata adjektif kerana menurut beliau terjumpa penggunaan tersebut dalam bahasa sasterawan negara seperti Samad Said dan Shahnon Ahmad. Contohnya, “Matanya terasa sangat berat sekali”. Namun demikian, Tatabahasa Dewan tidak membenarkan dua kata penguat digunakan secara sekaligus. 

Kesimpulannya, penggunaan istilah-istilah asal bahasa Melayu akan semakin pudar jika perkataan ‘giler’ seperti ini kerap digunakan dalam kalangan masyarakat Melayu sekarang, terutamanya dalam kalangan remaja. Marilah kita bersama-sama memartabatkan bahasa Melayu kita dengan mengurangkan penggunaan bahasa slanga. 


BIBLIOGRAFI

Abdullah Hassan et al..  2006. Sintaksis Siri Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu. Academia: Kuala Lumpur. Akses daripada https://books.google.com.my/books?id=WhiTFhRQbTwC&pg=PA260&dq=kata+penguat&hl=en&sa=X&ei=k8kpVemuBc-UuATa0YD4Dg&ved=0CCUQ6AEwAQ#v=onepage&q=kata%20penguat&f=false

Asmah Haji Omar Edisi Keempat.  1993. Nahu Melayu Mutakhir. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

Nik Safiah Karim et al..  2006. Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

Sulaiman Mari, Abdullah Yusof dan Mohd. Ra’in Shaari. 2006. Bahasa Melayu Dimensi Pengajaran dan Pembelajaran. Utusan Publications & Distributors: Kuala Lumpur. Akses daripada https://books.google.com.my/books?id=edWhSzcHmUQC&pg=PA78&dq=kata+penguat&hl=en&sa=X&ei=yg8pVfzrBtCXuQS_p4DwCg&ved=0CFQQ6AEwBw#v=onepage&q=kata%20penguat&f=false

No comments:

Post a Comment