Sunday 12 April 2015

Maksud "Sirih Pulang ke Gagang"

Berdasarkan huraian Ding Choo Ming (2009), kehebatan peribahasa Melayu terletak pada kekayaan isinya yang terdiri daripada beraneka ragam malahan boleh dikatakan telah meliputi semua aspek hidup seharian dan juga dunia ghaib, alam hauwan dan botani. Sehubungan itu, pengarang ternyata telah mendramasikan keaneka-ragaman tema kehidupan sosial orang Melayu berinteraski dengan alam fizikal dan sosial persekitaran mereka, lebih-lebih lagi pelbagai institusi sosial, sifat keperwiraan, kepura- puraan, keberanian, perasaan cinta, doa, hiburan, perkahwinan, kejayaan, kekalahan, kekuatan, kelemahan, hutan, bunga, sungai, antara yang lain-lain (Ding Choo Ming, 2009).

Peribahasa “sirih pulang ke gagang” merupakan salah satu peribahasa Melayu yang telah lama wujud tetapi masih lagi digunakan secara meluas pada kini. 

Menurut Za’aba (2002) bahasa kiasan dalam bahasa Melayu dapat digolongkan kepada dua golongan, iaitu kiasan jenis peribahasa dan kiasan jenis bukan peribahasa. Antara kedua-dua jenis bahasa kiasan ini, terdapat perbezaan yang nyata dari segi maksudnya (Za’aba, 2002). Bahasa kiasan jenis peribahasa mempunyai makna khas, iaitu tidak bergantung kepada konteksnya (Za’aba, 2002).

Menurut Kamus Dewan Edisi ke-4 (2010:423), perkataan “gagang” mempunyai pelbagai makna. Antaranya ialah:-
  • tangkai (bunga, gayung, dll)
  • hulu atau pangkal (keris, tembok, dll) 
  • pucuk ranting atau bayang pokok yang melata (melilit)
Gagang bunga bererti tangkai bunga manakala gagang daun bermakna tangkal daun. Jika dikatakan gagang pisau, gagang parang, gagang golok dan pangkal keris, iaitu bahagian yang digunakan sebagai tempat memegang senjata-senjata tersebut. Gagang yang membawa maksud sulur atau batang pokok yang melata, misalnya gagang sirih dan gagang pokok kekacang. Menggagang membawa maksud mempunyai sulur. 

Dalam kosa kata bahasa Melayu, banyak perkataan gagang yang berpasangan dengan perkataan lain untuk menerbitkan bentuk frasa kata. Misalnya frasa gagang sirih (tangkai sirih), gagang pena (tangkai pena), gagang pistol (pemegang pistol), gagang cerek (pemegang cerek) dan gagang telefon (pemegang telefon).

Menurut Mahyudin Al Mudra, SH. MM, orang Melayu menggunakan perkataan gagang ini dalam ungkapan peribahasa. Antara contohnya termasuklah “balik gagang” dan “seperti sirih pulang ke gagang”. Balik gagang bermaksud belot atau berpaling tadah kerana berpihak kepada pihak musuh. Sirih pulang ke gagang pula bermaksud kembali kepada asal. 

Hasuria Che Omar, Haslina Haroon, Aniswal Abd. Ghani (2009:553) menyatakan bahawa konsep ‘sirih’ yang difahami oleh pembaca teks sumber adalah berbeza dengan konsep yang difahami pembaca sasaran. Hal ini disebabkan ‘sirih’ mempunyai unsur budaya dalaman dalam masyarakat Melayu. Misalnya, ‘sirih’ berperanan penting dalam upacara, adat resam dan budaya semasa masyarakat Melayu. Sirih merupakan simbolik sifatnya yang merendah diri dan memuliakan orang lain. Oleh yang demikian, perlakuan memberi sirih dalam cerana adalah sebagai tanda hormat dan bukan sekadar permberian buah tangan semata-mata. Konsep sirih secerana bermaksud sirih itu disertakan dengan bahan-bahan lain seperti buah pinang, kapur, gambir, tembakau, cengkih, sirih dan kacip. Bahan-bahan yang disebutkan ini juga suci. Makna ini boleh ditafsirkan berdasarkan cara sirih tumbuh dengan cara memanjat pada para-para, batang pohon sakat atau api-api tanpa merosakkan batang atau apapun tempat tumbuhan tersebut hidup. Selain itu, sebahagian daripada cabang-cabangnya pula akan menjalar di atas tanah dan menutupi bumi. 

Seksyen Media, Bahagian Komunikasi Korporat UPM (2007) memberikan contoh bahawa Persatuan Alumni Universiti Putra Malaysia (PAUPM) meraikan Majlis Makan Malam Sirih Pulang ke Gagang di Pusat Kebudayaan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Serdang. Tujuan sambutan ini adalah untuk meraikan kepulangan alumni ke kampus dan mengeratkan lagi ikatan antara alumni dan Alma Mater itu turut menyaksikan penyampaian beberapa anugerah kepada ahlinya (Seksyen Media, Bahagian Komunikasi Korporat UPM, 2007). Oleh demikian, makan malam tersebut telahpun dinamakan sebagai Majlis Makan Malam Sirih Pulang ke Gagang yang membawa makna usaha mengumpulkan alumni dari semasa ke semasa oleh PAUPM dengan kerjasama Pusat Alumni agar program yang dianjurkan berupaya memberi impak yang lebih besar kepada UPM untuk terus bergerak ke hadapan (Seksyen Media, Bahagian Komunikasi Korporat UPM, 2007). Keadaan ini jelas tergambar apabila ahli-ahli UPM berasa seronok dan gembira jika kita dapat pulang ke UPM atau berjumpa dengan alumni-alumni yang lain setelah sekian lama berpisah atau berjauhan dengan mereka (Seksyen Media, Bahagian Komunikasi Korporat UPM, 2007).

Ding Choo Ming (2009) memberitahu bahawa sifat utama peribahasa ialah metaforanya yang perlu difahami dalam konteks budaya penuturnya. Selaras ini, metafora turut digunakan untuk membolehkan suatu topik, objek atau hal yang diterangkan, dihuraikan, dinyatakan dan digambarkan dengan lebih baik, berkesan dan komprehensif, berbanding dengan makna harafiahnya. Selain itu, makna metafora itu turut ditentukan oleh sesuatu budaya bahasa yang berkenaan, maka memahami metafora dalam bahasa itu sangat-sangat diperlukan untuk memahami peribahasa dalam pendokumentasian peribahasa Melayu itu sendiri (Ding Choo Ming, 2009). 

Kesimpulannya, peribahasa merupakan suatu contoh gaya omunikasi berbahasa orang Melayu yang dapat menggambarkan kehalusan dan ketajaman akal budi orang Melayu ketika berbahasa.

BIBLIOGRAFI

Ding Choo Ming, 2009. Beberapa Sifat, Asal Usul dan Kepengarangan Peribahasa Melayu Akses daripada http://journalarticle.ukm.my/1171/1/ SARI27%5B2%5D2009_%5B01%5D.pdf pada 12 April, 8.36am

Hasuria Che Omar, Haslina Haroon, Aniswal Abd. Ghani. 2009. Kelestarian Bidang Penterjemahan. Persatuan Penterjemahan Malaysia: Kuala Lumpur. Akses daripada https://books.google.com.my/books?id=__DzD5H3Ux0C&pg=PA553&lpg=PA553&dq=maksud+sirih&source=bl&ots=tT0DDA3kAL&sig=kmjpu4pRYunGnFECnRM4FZGDicw&hl=en&sa=X&ei=pGwqVYrUKMyUuATz7IDIDw&ved=0CEUQ6AEwBTgK#v=onepage&q=maksud%20sirih&f=false

Mahyudin Al Mudra, SH. MM. Tradisi Bersirih dan Nilai Budayanya. Diakses daripada http://melayuonline.com/ind/culture/dig/1703 pada 7 April 2015, 11.30pm.

Seksyen Media, Bahagian Komunikasi Korporat UPM, 2007. Akses daripada http://psasir.upm.edu.my/4779/1/Homecoming_V_Raikan_Alumni_UPM.pdf pada 12 April, 10.46am


Zainal Abidin Ahmad (2002) Ilmu Mengarang Melayu / Zainal Abidin Ahmad (Za'ba); dengan pengenalan oleh Asmah Haji Omar . Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka 

No comments:

Post a Comment