Tuesday 7 April 2015

Imbuhan Akhiran '-kan'

Tugasan ini membincangkan tentant isu imbuhan akhiran -kan yang tidak ditunjukkan dalam buku Tatabahsa Dewan (TBD) tetapi dijelaskan dalam buku Nahu Melayu Mutakhir (NMM). Dalam buku TBD, imbuhan akhiran -kan hanya diimbuhkan kepada kata kerja. Namun demikian, Asmah Hj Omar, (1993: 133) menjelaskan bahawa imbuhan akhiran -kan boleh diimbuhkan kepada kata kerja, kata adjektif / sifat dan kata nama. Akhiran -kan yang diimbuhkan kepada kata sifat membawa makna "menyebabkan", seperti dalam besarkan, pendekkan, kecilkan, panjangkan dan lain-lain lagi  (Asmah Hj Omar, 1993: 135). Selain itu, apabila akhiran -kan diimbuhkan kepada kata nama, imbuhan akhiran -kan mendukung pelbagai makna, iaitu (i) "menjadikan sebagai", (ii) "menggunakan sebagai", (iii) "memasukkan ke dalam", (iv) "menghasilkan", dan (v) "memberi", "mengenakan pada" .(Asmah Hj Omar, 1993: 140). Antara contoh kata nama yang diimbuhkan dengan akhiran -i ialah wakilkan, korbankan, kipaskan, layarkan, sarungkan, sekolahkan, airkan, kapurkan dan kandangkan. Namun demikian, TBD langsung tidak menyentuh tentang pengimbuhan akhiran -kan untuk kata sifat dan kata nama (Nik Safiah Karim et al., 2010). Sebaliknya Nik Safiah Karim et al., (2010), hanya menerangkan bahawa pengimbuhan akhiran -kan hanya untuk diimbuhkan kepada kata kerja. 
Selain itu, Intarachat, Pitsamai (1987: 41) turut menjelaskan imbuhan akhiran -kan untuk kata adjektif. Contohnya, terangkan adalah kata kerja terbitan yang diterbitkan dari akhiran pembentuk leksikal -kan diimbuhkan kepada adjektif "terang" (Intarachat, Pitsamai, 1987: 41). Pengimbuhan ini telah menjadikan perkataan ini menjadi suatu item leksikal baru yang merupakan pokok kerja, iaitu perkataan "terangkan" (Intarachat, Pitsamai, 1987: 44).
Kesimpulannya, kita dapat membuktikan bahawa imbuhan akhiran -kan merupakan imbuhan akhiran untuk kata nama dan kata sifat. Oleh itu, pernyataan yang dikemukan oleh NMM adalah benar. Oleh demikian, penulis-penulis buku TBD patut mengkaji semula buku tersebut untuk mengelakkan kekeliruan dalam kalangan pengguna-penggunanya.

Bibliografi
Asmah Haji Omar Edisi Keempat.  1993. Nahu Melayu Mutakhir. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Intarachat, Pitsamai. 1987. Sintaksis Predikat dalam Bahasa MalaysiaDewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.
Nik Safiah Karim et al..  2006. Tatabahasa Dewan Edisi Baharu. Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur.

1 comment:

  1. akak setuju...banyak lagi sebenarnya penggunaan morfem terikat -kan ni boleh digunakan...soalnya, mengapa TBD terlalu membataskan penggunaannya?Sayang sekali....

    ReplyDelete